Kali ini kita berkongsi lagi pengalaman bagi menjadikan petani moden yang berjaya. Memang semua itu harapan dan impian kita apabila memulakan sesuatu projek. Apa yang penting, di mana ada kemahuan, di situ ada jalannya.
Ingin aku kongsikan sedikit pengalaman aku ketika memulakan projek ini. Aku juga gementar dan tidak yakin dengan apa yang sedang aku usahakan tetapi berkat doa kedua ibubapa aku serta dorongan/sokongan yang kuat dari isteri yang tersayang, aku tabahkan hati.
Kenapa aku gementar dan bimbang? Apa tidaknya, aku langsung tiada pengalaman dalam bidang pertanian apatah lagi bidang ini. Sedikit ilmu pun aku tak ada. Aku cari dan rujuk semua sumber yang aku yakin dapat membantu aku. Mujurlah pegawai pertanian di Mardi Alor Setar, Encik Kadir banyak membantu. Dia yang banyak memberikan panduan dan tunjuk ajar.
Langkah pertama, aku tebas segala semak samun yang ada di belakang rumah aku menggunakan tulang empat kerat aku dengan dibantu oleh sahabat aku, Adi ( pengumpul orkid liar dari Kuala Kangkong ). Hasilnya.............. semak samun berjaya aku lupuskan.
Langkah seterusnya, aku mula mendapatkan bekalan sekam wap. Payahnya nak dapat, maklumlah musim menuai telah tamat. Mujur ada Abang Mat yang banyak membantu aku. Melalui Abang Mat, aku mendapat bekalan sekam wap dari abang Saad, abang ipar menantu abang Mat. Selori ketika itu harganya RM160. Aku pesan 2 lori. Setiap lori aku dapat isi 1200 beg. Punya la seksa, berdebu dan hitam legam jadinya. Mujurlah anak-anak dan isteri banyak membantu. Aku mulakan dengan 1000 pokok yang pertama.
Anak sulung aku, Affieq membantu dalam menyusun setiap polibag di atas silver shine yang dah aku rentangkan di tapak tanaman aku. Seminggu, siaplah 1000 polibag aku susun.
Beginilah rupa susunan polybag yang berisi sekam wap yang telah disusun rapi di atas silver shine. Jarak memanjang antara polybag adalah sekitar 18 inci.
Langkah seterusnya adalah menyemai biji benih kerana biji benih matang mengambil masa sekitar 25 hari untuk diubah ke dalam polibag tersebut. Jadi dalam tempoh tersebut aku boleh melakukan kerja-kerja pemasangan paip serta menyediakan bangsal untuk aku letakkan pam elektrik 2hp aku serta tangki bancuhan baja.
Sebelum aku lupa, bukaan silver shine adalah 4 kaki dan jarak antara lorong juga 4 kaki. Keluasan begini akan memudahkan pergerakan aku ketika melakukn aktiviti memotong rumput di setiap lorong, meracun serta memungut buah nanti. Jika terlalu rapat akan menyukarkan pergerakan kerana pokok cili akan mengembang apabila besar nanti.
Mudahkan ......? Oklah, lain kali aku akan bercerita lagi bagaimana aku menyediakan anak benih menggunakan variasi 223 seperti yang disyorkan oleh Encik Kadir dari MARDI. Kata orang pokok jenis payung terjun atau cili minyak ... pedas dari Kulai atau 568.
Jumpa lagi .....